PANDUAN PENGGUNA

إرشادات للمتعلمين والمعلمين

Panduan dan saranan berikut membantu pelajar dan pengajar menggunakan buku ini dengan jaya. MSA mengandungi 24 pelajaran. Setiap enam pelajaran diakhiri dengan ujian. Setiap pelajaran terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, teks bacaan, pertuturan, latihan leksikal dan tatabahasa serta ujian akhir bertulis. Mulai Pelajaran 4, pertuturan disediakan dalam dua bentuk iaitu MSA dan 4 dialek utama Arab.

Simbol menunjukkan latihan menulis, simbol menunjukkan kerja rumah. Bahagian yang ditanda dengan warna biru atau dengan simbol mengandungi fail audio, manakala simbol menunjukkan latih-tubi berasaskan komputer yang dapat diaktifkan dalam e-Edition dan dapat dicapai di www.modern-standard-arabic.com. Kandungan kedua-dua jenis penerbitan adalah serupa.

Jawapan bagi kesemua latih tubi yang mempunyai satu sahaja jawapan tepat boleh dipaparkan dalam e-Edition dengan menggerakkan cursor tetikus ke ruangan jawapan.

JAM PELAJARAN DAN KELAS DAN SUSUNAN SETIAP UNIT

Setiap pelajaran memerlukan 8 hingga 12 jam pelajaran dan dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu. Jumlah waktu yang sama diperlukan untuk persiapan dan kerja rumah sebelum dan selepas pelajaran di kelas.

Untuk membolehkan pelajar memproses bahan dan kosa kata baru dengan baik, disarankan untuk meluangkan tempoh belajar 1 hingga 2 hari sebelum memulakan latihan, latih tubi dan kerja rumah.

Di permulaan setiap pelajaran, rancangan pembelajaran (12 jam per pelajaran) dicadangkan, dan rancangan ini boleh disesuaikan mengikut senario kelas.

KAEDAH LATIHAN

a) Sebutan

Sebutan yang betul tidak dapat dicapai dengan penjelasan teori sahaja, malah memerlukan pelbagai latih tubi praktikal iaitu mendengar, mengulang dan bertutur. Pelajar disarankan untuk meneguhkan bunyi yang ‘biasa’ didengari ke dalam bunyi dan pola sebutan yang telah dikenali, serta berterusan mengulang-ulangnya secara berpasangan. Sama pentingya juga untuk pelajar membaca teks dan perbualan dengan suara lantang. Imlak pula adalah antara kaedah yang berkesan untuk melatih pendengaran pelajar agar dapat membezakan antara bunyi dan huruf yang serupa dan menulisnya dengan betul.

b) Menulis

Kemajuan perkakasan digital menyebabkan berkurangnya kepentingan menulis dengan tangan. Dengan mengambil kira trend ini, pelajar diberi pelbagai latihan menulis di komputer. Pada tahap pertama, pelajar perlu menyalin teks pendek dan beransur-ansur membuat latihan menulis dan mengarang yang lebih tinggi. Dengan ini, pelajar mempelajari kemahiran yang berguna dan diperlukan dalam dunia profesional.

c) Tatabahasa

Setiap pelajaran bermula dengan memperkenalkan tatabahasa baharu. Kami menganggap pendekatan ini penting kerana tanpa mengetahui tatabahasa dan vokalisasi (baris) perkataan yang betul, mustahil untuk membaca dan memahami bahasa Semitik seperti bahasa Arab. Kebanyakan latih tubi merupakan latihan transformasi (penukaran). Namun, terdapat sebilangan latih tubi yang melibatkan penyisipan, serta penggabungan atau penyempurnaan kata, frasa dan ayat. Tujuannya ialah untuk meningkatkan kecekapan pelajar ke tahap bawah sedar dan automatik dalam menggunakan tatabahasa yang betul, satu perkara yang sangat penting untuk komunikasi aktif.

d) Teks dan Kosa Kata

Teks yang dipilih merupakan teks asal yang telah diubah suai untuk tujuan pembelajaran. Teks dalam beberapa pelajaran awal terutamanya diubah suai mengikut kemahiran tatabahasa tertentu. Pelajar perlu menterjemahkan teks secara lisan dan bertulis, dan kemudian membincangkan kepelbagaian cara dan variasi penterjemahan. Latihan leksikal dikaitkan dengan kosa kata baru. Latih tubi leksikal dan perbualan kadang-kadang melibatkan kosa kata, istilah khusus, peribahasa dan ungkapan tambahan yang biasanya tidak terdapat dalam senarai kosa kata umum. Secara umumnya, senarai kosa kata merangkumi perkataan baharu dan frasa daripada teks mengikut urutan abjad. Namun, makna kosa kata tersebut hanya merujuk kepada makna khusus kata yang terdapat di dalam teks dan tidak memberikan makna tambahan.

e) Perbualan

Latihan perbualan yang diberi hanyalah cadangan. Pengajar perlu mempelbagaikan latihan perbualan sesuai dengan minat dan kemampuan pelajar. Pelajar dianggap berjaya apabila sesebuah kumpulan latihan mampu melakonkan semula suasana perbualan. Pengajar hanya menjadi pemerhati atau pendengar, dan membantu apabila diperlukan. Agar pelajar tidak tertekan dan takut, sebaiknya pengajar tidak memotong percakapan mereka, sebaliknya membetul kesilapan setelah selesai percakapan. Susunan tempat duduk yang lebih inklusif dan galakan mesra untuk bercakap secara bebas di depan khalayak juga membantu tujuan yang sama.

f) Dialek

MSA memperkenalkan cara baharu yang unik untuk mengintegrasikan pengajaran MSA dan dialek Arab yang utama. Tidak ada yang menuturkan MSA sebagai bahasa ibundanya kerana ianya sentiasa dipengaruhi oleh dialek tempatan. Justeru, pelajar mesti dipersiapkan untuk memahami perbualan dan ungkapan yang terdapat dalam dialek. Untuk mencapai tujuan ini, semua dialog dan perbualan mulai Pelajaran 4 dipersembahkan dengan Bahasa Arab Moden dan empat jenis dialek Arab:

A) Iraq/Negara Teluk/Semenanjung Arab

B) Syria/Lubnan/Palestin

C) Mesir

D) Maghribi

Perbualan dalam dialek di atas disediakan untuk melatih kemahiran mendengar. Perkataan dan ungkapan yang biasa dalam dialek menggantikan perbualan asal. Perubahan sintaksis dan morfologi dibuat apabila perlu. Beberapa latih tubi direka untuk melatih ciri khusus dalam sesuatu dialek. Sebelum melakukan ujian akhir dalam setiap pelajaran, teks tambahan kemahiran mendengar dalam dialek berserta soalan-soalan penting diberikan.

g) Ujian Akhir Bertulis

Pada akhir setiap pelajaran terdapat ujian bertulis yang meliputi maklumat di dalamnya dan menilainya. Meskipun pelajar perlu bersedia untuk semua soalan, pengajar tidak perlu memasukkan kesemuanya dalam ujian. Berdasarkan pencapaian ujian, pengajar hendaklah menentukan latih tubi yang memerlukan lebih perhatian dan ulang kaji.

h) Ulang Kaji Intensif

Setelah menyelesaikan enam pelajaran, waktu ulang kaji intensif ditetapkan untuk menyatukan bahan dan mempersiapkan pelajar untuk menghadapi ujian akhir.

LAMPIRAN DAN SENARAI ISTILAH

a) SENARAI ISTILAH (Arab-Melayu)

Senarai istilah Arab-Melayu mengandungi lebih daripada 2600 perkataan dalam urutan abjad. Walaupun hubungan dan pola paradigmatik perkataan tidak berapa jelas, susunan mengikut abjad lebih mudah digunakan oleh pelajar permulaan berbanding susunan mengikut kata akar.

b) JADUAL POLA dan KATA KERJA

Selain jadual bilangan kardinal dan ordinal serta ungkapan masa, terdapat jadual infleksi kata kerja dan kata nama yang vokalnya dibariskan sepenuhnya.

c) INDEKS ISTILAH NAHU (BAHASA ARAB-BAHASA MELAYU)

Indeks Bahasa Melayu-Bahasa Arab dan Bahasa Arab-Bahasa Melayu mengandungi semua istilah linguistik penting yang digunakan dalam buku ini. Kata masuk yang ditebalkan menunjukkan definisi dan perbincangan tematik.