KATA PENGANTAR

Modern Standard Arabic (MSA) atau Bahasa Arab Modern hadir sebagai jawapan terhadap cabaran daripada golongan profesional dan akademik untuk memanfaatkan media moden. Meskipun buku ini terdapat dalam bentuk konvensional (edisi cetak), namun versi e-Edition ini lebih efisien dan berkualiti kerana dapat dicapai di komputer riba atau tablet komputer. e-Edition dan bahan tambahan tersebut dapat dicapai di laman web:

www.modern-standard-arabic.com

Kesemua fail audio, latih tubi serta kekunci jawapan bagi latihan dan latih tubi yang mempunyai satu jawapan tepat dapat diaktifkan melalui klik tetikus atau skrin sentuh. Jawapan betul muncul sebagai warna merah dengan hanya menggerakkan tetikus ke ruangan jawapan.

Pemilihan kosa kata dan tatabahasa dalam MSA adalah berdasarkan analisis kekerapan dan keperluan komunikasi. Teks asal MSA dipilih daripada pelbagai disiplin ilmu seperti sejarah, sosial, agama, politik, sukan, sains dan budaya. Kursus ini tidak mengajar kandungan yang nadir dan tidak perlu, tetapi ia fokus kepada aspek asas komunikasi.

Pelajar akan dapat mempelajari cara menguasai komunikasi dalam pelbagai situasi menggunakan MSA. Oleh itu, MSA memberi penekanan khusus kepada ungkapan yang kerap berulang dalam pertuturan dan penulisan, seperti sapaan, ucapan selamat, panggilan, memperkenalkan diri, ungkapan harapan dan perasaan, memohon maaf, peribahasa serta frasa yang lazim. Selain itu, MSA juga mengandungi maklumat budaya, keagamaan dan sejarah bagi membolehkan pelajar mencapai kecekapan budaya.

Istilah umum linguistik Arab digunakan dalam MSA bagi membolehkan pelajar mengikuti kursus bahasa di dunia Arab dan mendalami pelbagai sumber berbahasa Arab.

Oleh kerana tiada siapa menggunakan MSA sebagai bahasa ibunda dan penggunaannya dalam komunikasi sangat dipengaruhi oleh dialek tempatan, pelajar perlu cekap memahami ungkapan, perasaan, frasa dan keseluruhan perbualan dalam dialek. Oleh itu, MSA menggunakan pendekatan baru dengan menggabungkan dialek Arab. Mulai Pelajaran 4, kesemua teks perbualan dirakam dalam MSA dan dialek daripada empat rantau utama Arab, iaitu:

A) Iraq / Negara-negara Teluk / Semenanjung Arab

B) Syria / Lubnan / Palestin

C) Mesir

D) Maghribi

Dalam usaha memelihara keaslian kandungan dan menyampaikannya dengan memuaskan, MSA menggabungkan ciri-ciri khusus kesemua dialek. Secara beransur-ansur, pelajar belajar untuk mengikuti perbualan dalam dialek tersebut. Tujuannya bukanlah untuk menggalakkan pelajar bertutur menggunakan dialek. Tujuannya ialah untuk membolehkan pelajar bertutur menggunakan kepelbagaian bahasa Arab yang mirip kepada bahasa yang digunakan oleh penutur Arab atau penutur berpendidikan لغة المثقفين. Apabila pelajar mengetahui bidang pengkhususan atau rantau pilihan, maka mudah untuk mereka memilih dialek yang diperlukan dalam pembelajaran MSA.

MSA membolehkan pelajar mencapai Tahap A2 selepas selesai Pelajaran 12 dan Tahap B1 – B2 selepas tamat Pelajaran 24, berpandukan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR). Tahap-tahap ini setara dengan tahap Novice High dan Intermediate-Mid berpandukan skala rating oleh American Council of Teaching Foreign Languages (ACTFL).

Semoga MSA memberi dampak positif kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di seluruh dunia. Kami berbesar hati menerima sebarang ulasan, kritikan dan cadangan agar edisi akan datang lebih sempurna.

Kuala Lumpur/ Leipzig 2017 Eckehard Schulz dan Kaseh Abu Bakar.